Sunday, December 18, 2011

RUTH SAHANAYA

Ruth Sahanaya Pukau 2800 Penonton ...

Ruth Sahanaya Pukau 2800 Penonton

Selepas Indonesia dan Singapura, penyanyi diva terkemuka Indonesia, Ruth Sahanaya kini meneruskan perjalanan konsert siri jelajahnya, “25 Tahun Ruth Sahanaya” di mana kali ini Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi saksi kehebatan vokalnya.

Walaupun tidak sehebat “Konsert Fenomena Search” yang mana berjaya menarik kira-kira 15,000 penonton, namun konsert bersempena 25 tahun penglibatan Ruth dalam karier muzik ini tetap menghiburkan apabila berjaya memukau seramai 2800 penonton yang hadir pada malam tadi.

Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Ruth mempesonakan hadirin yang datang dengan 30 buah lagu solo dan medley antaranya seleksi lagu-lagu popular seperti ‘Bawa Daku Pergi’, ‘Keliru’, ‘Ingin Kumiliki’, ‘Memori’ dan ‘Astaga’. Wanita berusia 45 tahun ini turut mengubat kerinduan peminat di Malaysia dengan lagu malar segar, ‘Kaulah Segalanya’ di mana hadirin di dewan turut sama menyanyikan lagu tersebut bersama dengannya.


“Secara peribadi saya rasa cukup puas dan senang melihat penonton yang hadir di mana mereka sangat menikmati konsert ini. Saya rasa senang sekali apabila konsert ini bisa berjalan dengan lancar. Ia merupakan satu penghargaan buat saya secara peribadi dan akan menjadi kenangan yang tersendiri. Akhirnya saya dapat juga menyampaikan rasa rindu saya buat penggemar saya di Malaysia,” ujar Ruth sejurus selesai konsert.

Apa yang istimewanya, konsert “25 Tahun Ruth Sahanaya” ini turut dihadiri oleh penaungnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, selain kehadiran khas anakanda Yang Dipertuan Agong ke-14, Tunku Panglima Besar Kedah Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran mereka semua. Ini satu penghargaan yang luar biasa bagi saya, terima kasih sangat-sangat,” ujar Ruth mengakui turut terharu dengan sokongan peminatnya.

“Tahun 2011 merupakan ulangtahun yang ke-25 penglibatan saya dalam dunia muzik. Walaupun begitu banyak suka duka, dugaan dan cabaran yang saya lalui selama ini, namun saya berjaya laluinya dengan selamat. Saya masih bisa berdiri pada malam ini dan kehadiran saya masih ada dan wujud kerana sokongan anda semua. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus menyokong saya selama ini.”


Selain menyampaikan lagu-lagu dari 15 buah albumnya, Ruth turut menghiburkan peminat dengan lagu medley dari kumpulan Carpenters, duet bersama Datuk Khatijah Ibrahim menerusi lagu ‘Getaran Jiwa’ nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee serta duet bersama dua anaknya, Nadine Emanuella dan Amabel Odelia dengan lagu ‘Thankful’.

“Ini kali pertama saya dapat berduet dengan kawan baik saya dan saya dapat rasakan getaran jiwa antara kami. Saya rasa berbesar hati dan bangga dapat menyanyi bersama dengan Datuk Khaty. Saya juga rasa gembira sekali dapat berduet dengan anak saya.”

Konsert “25 Tahun Ruth Sahanaya” yang menampilkan pemuzik khas dari Indonesia ini dianjurkan oleh A’Caralis Kuala Lumpur. Hasil kutipan tiket konsert ini akan disalurkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah, Yayasan Anak Yatim Sultanah Haminah, Tabung Kolej Sultan Abdul Hamid dan Persatuan Bolasepak Kedah serta digunakan untuk menampung perbelanjaan membina Dewan Centennial KSAH-SAHOCA yang merupakan sekolah DYMM Tuanku Sultan dan Tun Dr Mahathir.

GUA.COM.My 2011

No comments:

Post a Comment